SHAH ALAM - Pandangan bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek berhubung kewajaran MCA keluar daripada Barisan Nasional (BN) sangat realistik sekiranya masih meneruskan peraturan bahawa mana-mana parti komponen yang kalah dua kali di kerusi sama, tidak lagi dibenarkan bertanding atas tiket BN.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, jika formula itu dikekalkan maka peranan MCA dalam BN sudah tiada dan ketika itu MCA wajar keluar.
“Bukannya hubungan kita tidak baik dengan BN, kerjasama kita masih rapat cuma kena realistik,” katanya pada Sabtu.
Sin Woon berkata, setiap perbincangan atau keputusan sepatutnya mendapat kelulusan Majlis Tertinggi BN.
“Kalau mengikut perlembagaan mana-mana perbincangan, apa-apa keputusan nak kerjasama dengan siapa patut mendapat kelulusan Majlis Tertinggi BN.
“Cuma sehingga hari ini belum lagi ada apa-apa perbincangan mengenai agenda tersebut. Ia hanya dibincangkan parti tertentu dalam BN. Jadi itu hanya kenyataan individu bukan BN,” ujarnya.