NGO, Ketua Cabang PKR Kedah buat laporan polis terhadap Ahmad Fadhli

ALOR SETAR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama tujuh Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah tampil membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung hantaran bergambar yang disifatkan menghina usaha diplomatik Perdana Menteri.

Hantaran berkenaan memaparkan karikatur seekor monyet bertindak sebagai hakim sedang mengadili kambing dan biri-biri yang berebut pisang, dipercayai menyindir inisiatif Malaysia dalam merintis perdamaian antara Thailand dan Kemboja.

Pengerusi Persatuan Anak Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menjatuhkan imej kepimpinan negara bahkan dibimbangi boleh mencemar hubungan baik antara Malaysia dengan negara luar.

“Kami menggesa pihak polis ambil tindakan serius ke atas Ahli Parlimen Pasir Mas itu. Malah kami harap Yang di-Pertuan Agong turut meneliti perkara ini kerana ia melibatkan martabat negara di persada antarabangsa,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar pada Selasa.

Zuraidi turut menyatakan kebimbangan bahawa perbuatan Ahmad Fadhli berpotensi menjejaskan persepsi negara luar terhadap Malaysia yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN.

“Kenyataan sebegitu bukan sahaja memalukan negara sendiri, tetapi juga negara jiran.

"Ini bukan isu kecil kerana melibatkan keselamatan serantau dan diplomasi antarabangsa. Beliau patut dipecat sebagai ahli Parlimen,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, tujuh Ketua Cabang PKR dari Padang Terap; Pokok Sena; Jerlun; Jerai; Kuala Kedah; Langkawi dan Kubang Pasu senada dalam menyuarakan pandangan berkenaan.

Ketua Cabang Padang Terap, Mohd Taha Hussin yang mewakili rakan-rakannya menegaskan bahawa isu kemanusiaan dan perdamaian tidak wajar dijadikan bahan sindiran.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya berbangga dengan kejayaan Perdana Menteri menyelesaikan kemelut Thailand-Kemboja, bukan memperlekehkan usaha ini,” ujarnya.