IPOH – Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung Sabtu ini di ibu negara bukanlah suatu tindakan membuang masa, sebaliknya merupakan manifestasi kekecewaan rakyat terhadap kerajaan.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin berkata, pemimpin yang menganggap himpunan itu sebagai membuang masa sebenarnya bimbang akan kehilangan kerusi.
“Yang buang masa ini siapa sebenarnya? Rakyat yang penat menunggu janji ditunaikan atau pemimpin yang goyang kaki sambil rakyat terus dihimpit kesusahan?
“Apabila rakyat turun menyuarakan keresahan, mereka dikatakan tidak ada kerja, sedangkan yang tidak buat kerja adalah mereka yang sepatutnya menjaga amanah negara,” katanya ketika dihubungi di sini, Ahad lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh itu berkata, tindakan rakyat turun ke jalan menunjukkan isyarat jelas bahawa mereka sudah hilang sabar dan kepercayaan terhadap kepimpinan negara.
“Jangan pandang rendah suara rakyat. Anak muda bukan boleh dibeli dengan ‘gula-gula’ jawatan atau poster-poster retorik.
“Pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat tidak akan takut dengan himpunan aman. Sebaliknya, mereka yang sedar telah gagal mula gelabah.
“Yang peliknya, jika benar himpunan ini tiada sambutan, mengapa perlu bersusah payah menghalang orang daripada turun?” ujarnya.
Tambah beliau, adalah lebih baik rakyat dibenarkan menyuarakan pendapat secara aman daripada terus memendam rasa sehingga mencetuskan kemarahan yang lebih besar.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan rakyat Perak dinasihatkan agar tidak menyertai Himpunan Turun Anwar kerana ia disifatkan sebagai membuang masa dan berpotensi menjejaskan kestabilan negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perhimpunan seperti itu bukan sahaja tidak membawa sebarang hasil, malah dikhuatiri mencetuskan kekacauan serta menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara.