PONTIAN – UMNO Bahagian Tanjung Piai mengusulkan agar kerusi Parlimen kawasan itu diserahkan kepada UMNO untuk ditandingi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usul berkenaan akan dibawa ke peringkat kepimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan.
Menurutnya, perkara itu masih dalam perbincangan, namun UMNO Bahagian Tanjung Piai telah menyuarakan pendirian mereka berdasarkan demografi pengundi kawasan tersebut.
“Sebagai Setiausaha Agung, saya akan membawa resolusi UMNO Bahagian Tanjung Piai agar ia dapat dibincangkan dengan teliti berdasarkan hujahan serta pandangan mereka.
“Kita mesti dengar suara akar umbi dan keputusan akhir nanti akan mengambil kira kepentingan keseluruhan parti dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Piai di Dewan Muafakat Johor, Taman Sentosa, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Md Israk Abdullah.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai kini disandang oleh Datuk Seri Wee Jeck Seng daripada MCA sejak 2008, namun beliau tewas kepada calon Bersatu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Rafik, pada Pilihan Raya Umum 2018.
Allahyarham Md Farid kemudiannya meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September 2019.
Jeck Seng memenangi semula kerusi tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada tahun 2019 dengan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, antara usul yang banyak dikemukakan oleh bahagian-bahagian lain termasuk usaha memperkukuhkan parti.
“Bahagian-bahagian lain turut mengemukakan usul termasuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti serta kesediaan kita untuk menghadapi siri-siri Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula daripada Sabah, Melaka, Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Kebanyakan usul yang dikemukakan adalah positif, namun UMNO juga tidak menolak kritikan membina, apatah lagi suara akar umbi berkenaan isu-isu rakyat,” katanya.