TAMPIN – Perikatan Nasional (PN) hanya berangan-angan apabila mendakwa mereka mempunyai rekod pentadbiran yang lebih baik berbanding kerajaan sedia ada, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu dikenali sebagai kerajaan gagal ekoran pelbagai kelemahan yang berlaku sepanjang tempoh pentadbirannya.
“Kita tidak boleh menghalang seseorang itu untuk berangan-angan, angan-angan itu tidak perlu dibayar.
“Tapi cukuplah rasanya, kerana ketika beliau mentadbir dahulu, kerajaan beliau dikenali sebagai kerajaan gagal. Janganlah ulangi kegagalan itu semula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa PN mempunyai rekod dan pengalaman lebih baik ketika mentadbir negara semasa era pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga dilaporkan berkata, PN akan menghapuskan beberapa amalan kerajaan sedia ada sekiranya berjaya mengambil alih pentadbiran negara kelak.
Tambah Muhyiddin, kerajaan baharu yang bakal menggantikan Kerajaan Perpaduan akan menyediakan kerangka dasar yang lebih baik khususnya berkaitan kebajikan rakyat.