HULU LANGAT – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim menolak dakwaan wujud krisis dalaman antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Menurut beliau, berdasarkan ucapan Hamzah semasa Himpunan Mandat Negarawan, jelas terpamer rasa hormat terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu.
“Saya tidak melihat sebarang perselisihan faham seperti yang digembar-gemburkan. Hubungan antara mereka kekal baik dan saling menghormati,” katanya ketika mengulas mengenai dakwaan krisis kepimpinan dalam Bersatu kepada Sinar Harian.
Mengulas dakwaan ketegangan antara Pas dan Muhyiddin pula, Mohamad Shafiq menjelaskan bahawa kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, telah disalah tafsir.
“Kenyataan itu hanya menekankan keperluan musyawarah dalam pengumuman dasar termasuk isu calon Perdana Menteri di mana sebelum ini Muhyiddin pernah menamakan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri masa depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Muhyiddin tidak pernah mengisytiharkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri, sebaliknya ia merupakan kehendak akar umbi serta sebahagian besar rakyat Malaysia.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan usul penolakan terhadap Muhyiddin daripada akar umbi, Mohamad Shafiq berkata, pihaknya perlu menunggu Persidangan Agung Tahunan Bersatu 2025 bagi mendengar sendiri suara perwakilan.
“Saya belum dengar sebarang penolakan rasmi. Lagipun, adalah janggal untuk menolak seorang pemimpin yang menjadi teras manifesto parti dan pernah mengetuai kerajaan yang dinilai lebih baik oleh sebahagian rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Hamzah sebagai tokoh berpotensi untuk menggantikan Presiden pada masa hadapan selaras dengan kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden ketika ini.
“Proses transisi itu normal bagi mana-mana parti,” ujarnya.
Namun, itu tidak bermaksud beliau menyokong sebarang gerakan mendesak pengunduran Tan Sri Muhyiddin. Nama beliau juga tidak wajar dipergunakan bagi kepentingan agenda tertentu.
Menjawab persoalan mengenai keretakan hubungan dengan Pas, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang perselisihan rasmi antara dua parti komponen utama PN itu.
“Teguran dalam gabungan politik adalah amalan biasa. Tidak munasabah jika gabungan tidak boleh bersuara langsung. Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Pas yang menolak Muhyiddin,” katanya.
Mohamad Shafiq turut mengingatkan agar mana-mana ahli Bersatu yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Muhyiddin supaya tampil secara terbuka dan tidak berlindung di sebalik nama Pas.
“Jika benar tidak bersetuju, nyatakan pendirian dengan berani. Jangan ‘membaling batu sembunyi tangan’. Jika yakin dengan sokongan, tidak perlu takut bersuara,” tambahnya.