SANDAKAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menuntut semula kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang menjelang tidak lama lagi.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin Bersatu masih mempunyai sokongan kukuh terutamanya di kerusi-kerusi yang pernah dimenangi parti itu sebelum ini.
"Sewajarnya kerusi-kerusi Bersatu dipertahankan. Tapi bila berlaku pengkhianatan, ia kemudian dikatakan sebagai kerusi GRS, sedangkan mereka yang menang itu dahulu bertanding atas tiket Bersatu dan PN.
"Kerusi-kerusi yang kita yakin masih mempunyai sokongan bukan sahaja akan kita pertahankan, malah kalau boleh kita akan ambil semula dengan meletakkan calon-calon berwibawa, berkelayakan dan diterima rakyat, insya-ALLAH," katanya.
**media[3199631]**
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Rakyat Sabah 2025 Bahagian Batu Sapi di sini pada malam Jumaat.
Mengulas mengenai jumlah kerusi yang menjadi sasaran Bersatu, Muhyiddin memaklumkan perkara itu masih dalam peringkat penelitian.
"Kita akan putuskan kemudian. Kita akan teliti dan perhalusi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan, yang terdapat lebih 70 kerusi.
"Buat masa ini, belum ada keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi.
"Mungkin selepas pembubaran DUN nanti, barulah kita boleh buat kajian terperinci.
"Kalau ada pihak yang mahu bekerjasama, kita akan ambil kira. Masih ada masa,” katanya.
Ditanya mengenai kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan parti lain, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut.
"Saya sudah sebut tadi, kita mungkin akan pertimbangkan atau bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat membentuk gabungan.
"Perkara ini akan kita teliti dalam masa terdekat," katanya.