KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala dakwaan dan persoalan yang timbul berhubung institusi kehakiman, termasuk kekosongan jawatan-jawatan tertinggi badan itu.
Menurut Timbalan Setiausaha Agungnya, Chai Ko Thing, penubuhan RCI yang bebas dan berwibawa amat penting dalam memastikan sebarang keraguan terhadap integriti institusi kehakiman dapat ditangani dengan telus dan profesional.
“Badan kehakiman merupakan tunjang utama kepada sistem demokrasi dan keadilan negara. Maka, langkah ini amat penting bagi menegakkan prinsip ketelusan serta pertanggungjawaban dalam urusan yang melibatkan kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian susulan sidang media sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat kontroversi berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.
Tambah Ko Thing, rakyat berhak mengetahui kebenaran dan hanya melalui siasatan yang adil, bebas serta terbuka, keyakinan awam terhadap institusi kehakiman dapat dikembalikan.
Bagaimanapun, katanya, Gerakan tidak menafikan betapa ironiknya tindakan Rafizi yang kini bersuara lantang walaupun beliau sebelum ini merupakan anggota pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adakah ini petanda beliau sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Anwar? Atau adakah beliau kini bersedia untuk mengkritik kerajaan sendiri atas prinsip dan kepentingan awam, sesuatu yang selama ini sering dielak oleh pemimpin kerajaan?” soalnya.
Sehubungan itu, Gerakan menggesa semua pihak khususnya kerajaan agar tidak terus berselindung di sebalik retorik semata-mata, sebaliknya tampil dengan keberanian politik untuk menyokong penubuhan RCI demi menjaga integriti negara.