9 Ahli Parlimen PKR desak tubuh RCI siasat kemelut pelantikan Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.

Beliau mendakwa beberapa maklumat yang kini tular dalam pengetahuan awam perlu dijelaskan segera bagi mengelakkan krisis kepercayaan terhadap kerajaan dan institusi kehakiman katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Puchong Jaya pada Isnin.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.

Rafizi menegaskan penubuhan RCI merupakan langkah paling berkesan untuk menangkis segala spekulasi mengenai campur tangan dalam urusan kehakiman dan memulihkan keyakinan rakyat.

Katanya, mesyuarat tergempar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada Jumaat lalu yang dikatakan tidak memenuhi notis 10 hari mengundang persoalan sama ada wujud usaha mengubah senarai calon hakim.

“Apabila keputusan dibuat secara tertutup, rakyat akan berteka-teki. Kita pernah melalui episod ‘correct, correct, correct’, kita tidak mahu sejarah berulang,” ujarnya sambil merujuk skandal VK Lingam.

Beliau turut memaklumkan laporan polis sudah dibuat oleh pegawai Hakim Mahkamah Persekutuan berhubung dakwaan campur tangan dan berharap siasatan terperinci dapat dimulakan segera.

Menurutnya, kelewatan mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan hanya memburukkan lagi persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman.

Difahamkan sembilan Ahli Parlimen terbabit akan menghantar usul mendesak penubuhan RCI pada persidangan Dewan Rakyat dua minggu lagi bagi memastikan isu itu dibahas secara rasmi.

“Perdana Menteri tiada apa yang perlu disembunyikan. Parlimen ialah platform terbaik menjawab segala dakwaan,” tegasnya.

Rafizi menambah, tekanan awam memainkan peranan penting kerana ahli politik lazimnya hanya bertindak apabila wujud desakan rakyat.

Beliau juga bersedia memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Reformasi Institusi sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan.

Mengulas dakwaan bahawa mesyuarat tergempar JAC bertujuan menukar senarai calon hakim, Rafizi berkata hanya siasatan bebas dapat merungkai persoalan tersebut.

“Semakin lama kerajaan berdiam diri, semakin besar risiko kepercayaan rakyat terhadap kebebasan kehakiman terhakis,” katanya.

Sementara itu Rafizi berkata, pihaknya akan menggerakkan kempen di kalangan ahli parlimen untuk mendapat sokongan dari seberapa banyak ahli parlimen daripada parti lain termasuk menganjurkan forum awam di seluruh negara untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Satu petisyen atas talian seluruh negara akan digerakkan untuk menzahirkan hasrat rakyat supaya kebebasan institusi kehakiman dipertahankan,” ujarnya.