KUANTAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang menjangkakan lebih ramai bukan Bumiputera akan menyertai parti itu sebagai ahli bersekutu dalam masa terdekat.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, perkembangan itu dapat dilihat apabila terdapat ahli MCA yang mula mendaftar sebagai ahli bersekutu Bersatu baharu-baharu ini.
“Sebenarnya memang ramai bukan bumiputera khususnya daripada MCA telah menyatakan minat dan saya sendiri pun tidak sangka, contohnya di kawasan saya di Rompin pun ada yang dah mula mendaftar sebagai ahli bersekutu.
“Saya rasa mereka sudah mula melihat bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah pilihan tepat untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan insya-ALLAH lebih ramai dijangka akan menyertai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyertaan dua tokoh iaitu bekas Ketua Wanita Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Pahang, Datuk Harvinder Kaur dan bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon dalam Bersatu.
Terdahulu, Abdul Khalib merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar bagi mewakili Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Indera Mahkota di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar, Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Andansura Rabu serta ketua bahagian dan perwakilan Bersatu.
Mengulas mengenai persidangan bahagian Bersatu, Abdul Khalib berkata, kesemua 14 bahagian telah menyempurnakan persidangan masing-masing.
“Kita bersidang pada 4, 5 dan 6 Julai dan hari ini semua persidangan bahagian Bersatu di seluruh Pahang sudah selesai,” katanya.