SEREMBAN - Bekas pemimpin UMNO yang digantung atau dipecat daripada parti itu perlu membuang ego mereka sekiranya masih sayangkan parti.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun menyatakan kesediaan untuk menerima surat rayuan daripada mereka yang dikenakan tindakan berkenaan.
"Kita perlukan mereka (bekas pemimpin digantung atau dipecat). Seperti ucapan saya tadi, UMNO ini milik semua dan mesti disatukan semula.
"Tapi dengan satu syarat, masing-masing kena rendahkan ego, sayangkan parti dan Insya-ALLAH UMNO ini akan semakin kuat," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban di sini pada Jumaat.
Menurut Muhamad Akmal, beliau bersedia menjadi jambatan untuk membawa semula Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan kembali ke pangkuan parti itu.
Beliau berkata, matlamatnya hanya mahu memastikan parti itu terus kukuh sebagai sebuah keluarga.
"UMNO ini adalah keluarga untuk semua. Jadi mereka yang pernah dikenakan tindakan ini ada jasa yang kita tidak boleh lupakan.
"Jadi sebab itu saya kata yang paling penting adalah penyatuan UMNO ini dan tentunya penyatuan ini tidak boleh dilakukan sebelah pihak saja," katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO kekal dengan prinsip keterbukaan untuk menerima semula individu yang pernah digantung atau dipecat daripada parti tersebut.
Tegasnya, proses itu mesti melalui saluran dan prosedur yang betul seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal mengingatkan Pemuda UMNO supaya tidak menjadikan perjuangan parti itu sekadar retorik semata-mata.
Ujarnya, sekiranya ada perkara yang dilihat tidak sepatutnya dilakukan oleh pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan, ia perlulah diberi teguran.
"Bila bercakap soal perjuangan, maka ia tidak boleh retorik sama ada kawan atau lawan. Kalau itu salah kena tegur," katanya.