KUANTAN - Penyertaan dua tokoh politik dari negeri ini ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi suntikan moral kepada Badan Pimpinan Bersatu Pahang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dua tokoh berkenaan ialah bekas Ketua Wanita Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Pahang, Datuk Harvinder Kaur dan bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, kemasukan kedua-dua tokoh itu bukan sahaja memberi keyakinan baharu kepada rakyat, tetapi membuktikan keterbukaan Bersatu dalam menerima tokoh pelbagai kaum demi memperjuangkan agenda rakyat.
"Dengan kemasukan Datuk Harvinder dan Datuk Leong dari MCA Bentong akan memberikan kekuatan moral dan kepercayaan rakyat kepada Badan Pimpinan Bersatu Pahang.
"Saya berharap lebih ramai lagi yang akan menyertai Bersatu Pahang dalam waktu terdekat dan ini penting sebagai persiapan bagi menghadapi PRU16 yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Jasri berkata, penyertaan itu juga membuka lembaran baharu kepada penyatuan politik rentas kaum.
Jelasnya, selain itu, ia memberi isyarat bahawa Bersatu bersedia mendekati pengundi bandar dan bukan Melayu.