KLUANG – UMNO Bahagian Sembrong meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap pengurusan usul berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang hendak dilepaskan daripada penggantungan tanpa syarat.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, usul yang dibawa ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong pada 21 Jun lalu itu, dibincangkan terlalu awal oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sedangkan mesyuarat UMNO di peringkat Bahagian diseluruh negara masih berjalan ketika ini.
"Saya telah meneliti setiap komen mengenai isu itu termasuk daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, kenyataan media Setiausaha Agung parti selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Datuk Seri Hishammuddin.
“Saya sendiri menjangkakan usul ini akan dibawa mengikut proses seperti mana usul-usul sedia ada dibentang di dalam mesyuarat perwakilan, dibawa kepada jawatankuasa usul, kemudian akan ada jawapan ditolak atau diterima, dimaklumkan kepada bahagian sebab diterima atau ditolak.
"Namun proses tersebut seolah-olah berlaku terlalu awal. Mungkin isu ini mempunyai kesan kepada parti," katanya melalui rakaman di akaun TikTok miliknya pada malam Rabu.
Jelas Abdul Ghani, usul yang sama pernah dibawa dalam Mesyuarat Perwakilan pada tahun lepas namun langsung tidak mendapat perhatian malah tidak pernah dibincangkan kerana tiada sebarang jawapan diterima ketika itu.
Katanya, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein merupakan ahli UMNO cawangan Kampung Sri Tambak yang juga ahli UMNO Bahagian Sembrong sejak lebih 20 tahun lalu.
“Sebagai Ketua Bahagian, adalah menjadi kewajipan kepada saya untuk merayu kepada pihak kepimpinan tertinggi apabila ada diantara ahli dalam UMNO Bahagian Sembrong digantung keahliannya.
“Bagaimanpun, rayuan tidak dilakukan dalam bentuk surat persendirian, ia disuarakan melalui usul setelah dipersetujui oleh keseluruhan perwakilan yang bermesyuarat tempoh hari," katanya.
Tegas beliau, usul berkenaan dibawa selepas dibincangkan secara mendalam oleh Ketua-Ketua Biro UMNO Bahagian Sembrong selepas mengambil kira bahawa beliau tiada melakukan kesalahan unsur-unsur untuk mengkhianati parti.
Pada Selasa, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan penggantungan keahlian parti.
Ini kerana Ahli Parlimen Sembrong itu berkeyakinan beliau tidak akan diadili sebaiknya selain tidak mahu menggadaikan prinsip dipegang selama ini.
Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diputuskan boleh mempertimbangkan sebarang rayuan dikemukakan oleh mana-mana ahli dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.
Ia selepas UMNO Bahagian Sembrong pada Sabtu lalu, sekali lagi membawa usul agar penggantungan terhadap Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.
-enen