BANGI - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada malam Isnin tidak membincangkan isu penggantungan keahlian yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perkara tersebut tiada dalam agenda dan tidak penting untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikannya malam tadi.
"Tidak ada bincang (tindakan disiplin yang dikenakan terhadap Hishammuddin), tidak begitu penting soal itu," katanya ringkas kepada pihak media selepas Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig bersama Timbalan Perdana Menteri pada Selasa.
Sebelum ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilapor menjelaskan, MKT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.
Beliau berkata, keputusan itu memberi ruang kepada ahli yang dikenakan tindakan untuk mengemukakan rayuan kepada MKT.
Susulan itu, Hishammuddin menerusi hantaran di Facebook menegaskan, beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan penggantungan keahlian parti.
Ini kerana beliau yakin tidak akan diadili sebaiknya selain tidak mahu menggadaikan prinsip dipegang selama ini.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharu itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, beliau akan membawa isu berkenaan ke MKT untuk dibincangkan.
"Saya belum tonton video (hantaran Hishammuddin) itu walaupun telah dimaklumkan.
"Sudah tiba masanya saya akan bawa ke MKT dan biar MKT yang putuskan," ujarnya.