KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah tampil menyatakan pendirian tegas menolak tindakan membakar lukisan karikatur yang menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 yang diadakan baru-baru ini.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak menghormati prinsip perbezaan secara matang dan beradab, malah bertentangan dengan semangat serta sejarah panjang perjuangan Perdana Menteri dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa sejak era 1998.
“Perlu diingat bahawa Perdana Menteri merupakan antara tokoh politik yang paling konsisten, tegas dan berani dalam membanteras budaya rasuah bukan hanya melalui ucapan tetapi juga melalui pelbagai reformasi institusi dan dasar ketelusan fiskal yang kini sedang dilaksanakan di bawah Kerajaan Perpaduan Madani.
“Kami percaya bahawa sebarang bentuk desakan rakyat haruslah dilakukan secara berhemah, berfakta dan membina bukan dengan memperlekeh simbol pemimpin yang sedang menggerakkan perubahan nyata dalam pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau menegaskan bahawa AMK Sabah kekal komited menjadi suara progresif anak muda yang memperjuangkan agenda antirasuah, reformasi institusi dan pembinaan Malaysia yang adil serta bersih.
“AMK Sabah menyatakan sokongan terhadap mana-mana usaha dan gerakan rakyat yang memperjuangkan integriti, ketelusan dan pembanterasan rasuah, termasuk inisiatif demonstrasi Gempur Rasuah 2.0 yang dianjurkan ini.
“Semangat membanteras penyelewengan dan menuntut keadilan adalah sebahagian daripada denyut nadi perjuangan reformasi yang menjadi teras penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Namun, kita harus menggunakan pendekatan yang berprinsip, bijaksana dan tidak mempermainkan simbol yang disanjungi rakyat hanya demi retorik jalanan. Kita lawan rasuah, bukannya mencipta musuh baharu,” tegasnya.