Pas tuntut tindakan tegas PBB, OIC hentikan serangan ke atas Iran

SHAH ALAM – Pas menuntut ketegasan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar segera menghentikan serangan dan pencerobohan Amerika Syarikat terhadap Iran.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar kedaulatan Iran, malah merupakan satu bentuk jenayah perang yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Pas mengecam sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat yang telah melancarkan serangan dan pencerobohan terhadap Republik Islam Iran awal dinihari ini.

“Serangan ini menyerlahkan sikap sebenar Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel, sebagai pengganas yang tidak mempedulikan undang-undang serta nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Presiden Donald Trump dilaporkan mengumumkan bahawa Amerika Syarikat telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran termasuk Fordo, Natanz dan Esfahan.

Dalam satu catatan di platform Truth Social pada Sabtu, Trump menyatakan bahawa semua pesawat Amerika Syarikat telah keluar dari ruang udara Iran.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menyifatkan tindakan Amerika Syarikat sebagai tidak bertamadun dan mengecam keangkuhan kuasa besar itu yang merupakan sekutu kuat rejim haram Israel terhadap situasi yang boleh mengancam prospek keamanan dunia.