Kekalahan beri muhasabah, kesedaran - Mohd Shukri

ARAU - Keputusan pemilihan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Arau telah memberi kesedaran dan muhasabah, kata Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli yang tewas dalam pemilihan berkenaan.

Menurut Mohd Shukri, barisan pimpinan baharu yang dilantik itu diharapkan dapat memperkukuhkan perjuangan parti seterusnya mempertahankan kedudukan Perikatan Nasional (PN) di Perlis.

"Ia menjadi ruang muhasabah buat diri saya, dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan dan anggota parti yang telah kita bina bersama.

"Saya amat berharap agar barisan kepimpinan baharu Pas Kawasan Arau akan terus memperkukuh saf perjuangan kita, serta membantu memperteguh Kerajaan PN Negeri Perlis lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang semakin menghampiri," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang itu turut menyatakan keyakinan bahawa Pas Kawasan Arau akan terus diperkuat melihatkan kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

"Arau pasti terus unggul dengan saf kepimpinan yang kukuh, dibantu pula oleh tokoh ulung kita, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang hebat dan dahsyat, tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam memacu perjuangan ini ke hadapan," jelasnya.

Beliau dalam masa sama turut berterima kasih kepada kepimpinan Pas Kawasan Arau yang telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-51 dengan penuh semangat dan tertib.

"Hari ini selesai sudah satu program yang besar dan amat bermakna kepada saya dan seluruh warga jemaah Islam, khususnya Pas Kawasan Arau...setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan.

"Semoga Allah terus memberkati usaha kita semua," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Arau menyaksikan kejutan apabila Mohd Shukri Ramli tewas dalam pemilihan jawatan YDP 2025-2027 kepada penyandang, Solahudin Azmi.

Dalam pemilihan yang berlangsung di Kompleks Pas Perlis pada Sabtu, Mohd Shukri hanya memperoleh 43 undi berbanding Solahudin yang meraih sokongan padu 128 undi daripada 173 perwakilan yang hadir.