KUANTAN – Pas Pahang mendesak kerajaan Persekutuan agar membatalkan pelaksanaan tiga dasar ekonomi baharu yang didakwa membebankan rakyat dan peniaga, iaitu peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan kenaikan tarif asas elektrik.
Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, ketiga-tiga dasar yang dijadual berkuat kuasa serentak pada separuh kedua tahun ini dilihat hanya menambahkan tekanan kepada rakyat demi menutup kelemahan pengurusan ekonomi kerajaan.
Menurutnya, dasar berkenaan menjadi bukti bahawa kerajaan hanya memerah keringat rakyat untuk menutup ketidakcekapan dalam mengurus ekonomi negara.
“Rakyat Pahang masih merasai keperitan akibat kenaikan kadar SST daripada 6 kepada 8 peratus serta kenaikan harga diesel sebanyak 56 peratus yang dilaksanakan pada tahun 2024.
“Kini, peluasan skop SST melibatkan pertambahan senarai barangan bercukai daripada 62 muka surat kepada 222 muka surat. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Madani tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Aireroshairi turut mempersoalkan dakwaan kerajaan bahawa peluasan tersebut hanya melibatkan barangan premium, sambil menyifatkannya sebagai “penipuan besar” kerana menurut beliau, kesemua lapisan masyarakat akan terkesan.
Katanya, Pas Pahang amat kecewa dengan ketidakstabilan polisi kerajaan yang mencerminkan ketiadaan kerangka percukaian yang holistik dan jelas.
Ujarnya lagi, penangguhan pelaksanaan peluasan SST daripada 1 Mei kepada 1 Julai depan menunjukkan bahawa kerajaan masih belum bersedia dan membuktikan kelemahan perancangan dasar tersebut.
“Bagaimana rakyat boleh yakin dengan kerajaan yang membuat keputusan secara tergesa-gesa tanpa kajian mendalam? Ini adalah satu penghinaan kepada rakyat yang memberi kepercayaan kepada mereka untuk mentadbir negara dengan bijaksana.
“Pengenaan cukai sebanyak 8 peratus terhadap perkhidmatan penting seperti sewaan, pembinaan, kewangan dan pendidikan akan memberi kesan bertindih dan berganda terhadap kos operasi peniaga,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan tarif asas elektrik pula dijangka meningkatkan kos pengeluaran sekali gus menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban tambahan melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.