Ramai pemimpin UMNO menaruh harapan kerjasama dengan Pas - Idris

SHAH ALAM - Ramai pemimpin UMNO dan ahli peringkat akar umbi menaruh harapan untuk bekerjasama dengan Pas demi melihat penyatuan orang Melayu, dakwa Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Menurut Idris, keadaan ini berbeza dengan sikap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang disifatkan sombong dan mempunyai kepentingan tersendiri.

“Hanya mereka yang ada kepentingan seperti Mohd Puad sahaja yang marah kepada Pas.

"Puad ini ada masalah ke, sampai marah sungguh kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang? Jangan sombonglah. Saya pun tidak mahu layan sangat dia, dan tidak mahu kecam UMNO sangat.

“Ramai pemimpin UMNO dan ahli peringkat bawah bukan otak macam Mohd Puad. Mereka ikhlas mahu melihat penyatuan orang Melayu dan masih menaruh harapan untuk bekerjasama dengan Pas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Mohd Puad yang menuduh ahli Pas sebagai taasub.

“Kalau Mohd Puad tuduh ahli Pas taasub, adakah dia tidak taasub kepada pemimpin UMNO yang dulu marah kepada DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Bukankah dahulu janji lain, buat lain?” katanya.

Pada Ahad, Mohd Puad mendakwa Pas hanya mampu mengekalkan kedudukan sebagai parti ‘status quo’ di kawasan majoriti Melayu atau Malay belt disebabkan ketaasuban ahlinya terhadap kepimpinan parti itu.

Menurut beliau, meskipun Abdul Hadi dilihat memiliki wawasan peringkat dunia, beliau tetap tidak mempunyai daya tarikan terhadap pengundi bukan Melayu.

Mengulas lanjut, Idris berkata, walaupun tidak memiliki ijazah doktor falsafah (PhD), beliau masih boleh menulis dengan waras dan berdasarkan rujukan.

Jelasnya, ahli Pas menyokong kepimpinan parti kerana mereka memimpin ke arah yang menguntungkan Islam dan bangsa.

“Kalau mereka menyimpang, kami tidak akan patuh walaupun mereka berjawatan dalam Majlis Syura atau memegang jawatan tertinggi parti.

“Mohd Puad sendiri pernah keluar Pas dahulu. Bukankah itu juga kerana taasub kepada seorang pemimpin? Sejarah tidak boleh menipu.

“Kami setia kepada pemimpin Pas sehingga kami kehilangan beberapa pemimpin tertinggi apabila Abdul Hadi membuat keputusan untuk berta’awun dengan UMNO kerana mempertimbangkan bahayanya perpecahan politik orang Melayu,” katanya.

Idris turut mengingatkan Mohd Puad tentang peranan besar yang dimainkan Pas semasa tempoh 22 bulan pembangkang memerintah.

“Masihkah kau ingat semasa 22 bulan kamu jadi pembangkang, siapa yang ke hulu ke hilir naik pentas atas nama penyatuan ummah?

“Sehingga parti kamu jadi Perdana Menteri dan berada dalam kabinet. Tapi waktu dalam kerajaan pun, pemimpin UMNO buat macam-macam onar. Mohd Puad ini jenis manusia apa, saya pun tidak faham,” tegasnya.