SHAH ALAM - Kenyataan Ketua Pemuda Pas yang menyebut supaya perbicaraan dapat dijalankan tanpa sebarang campur tangan eksekutif disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan tersebut seolah-olah menggambarkan wujud campur tangan eksekutif dalam pentadbiran kehakiman.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut merupakan bukti jelas bahawa tiada campur tangan dalam menentukan keputusan permohonan berkenaan.
“Hakim bebas membuat penilaian berdasarkan hujah pihak-pihak di mahkamah.
“Ini bukti jelas bahawa Kerajaan Madani menjunjung tinggi prinsip pengasingan kuasa termasuk kebebasan institusi kehakiman yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti sementara susulan kes saman sivil yang difailkan oleh Yusof Rawther terhadap beliau.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memberi ruang sepenuhnya kepada proses perbicaraan mahkamah untuk berjalan secara adil, telus dan saksama tanpa sebarang campur tangan kuasa eksekutif.
Menurutnya, kes berkenaan bukan sahaja menyentuh soal perundangan, malah turut memberi kesan kepada maruah dan reputasi seorang Perdana Menteri di mata rakyat Malaysia.
Sementara itu, Muhammad Kamil menegaskan bahawa keupayaan Perdana Menteri untuk menjalankan tugasnya sebagai Ketua Eksekutif harus dinilai berdasarkan prestasi, bukan berasaskan kebencian politik seperti yang didakwa diamalkan oleh Pas.
Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa hujah yang dikemukakan oleh Afnan Hamimi adalah tidak bertanggungjawab dan lemah.
“Kalau logik yang sama digunakan, Menteri Besar Kedah dan Kelantan pun patutlah ambil cuti tempoh hari.
“Sebab itu hujah saudara Afnan ini adalah hujah yang culas dan malas,” ujarnya.