AMPANG – Tindakan Perikatan Nasional (PN) berdiam diri terhadap sokongan terbuka seorang individu pro-Israel yang kini mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri disifatkan sebagai satu bentuk hipokrasi politik dan pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, tindakan Muhammed Yusoff Rawther yang membawa Perdana Menteri ke mahkamah ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi global adalah tidak bertanggungjawab dan bermotifkan peribadi.
“Ini bukan hanya soal undang-undang peribadi. Ini soal prinsip dan integriti. Yusoff pernah secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel dan memperlekeh perjuangan rakyat Palestin dalam surat terbukanya pada 2017,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Altimet merujuk kepada surat yang disiarkan dalam laman Israel National News, di mana Yusoff menggelar perjuangan Palestin sebagai ‘anti-Semitik dan bodoh’ serta menolak hak rakyat Palestin ke atas Baitulmaqdis.
Beliau turut mempersoalkan pendirian PN yang disifatkannya sebagai tidak konsisten apabila parti itu memilih untuk tidak mengutuk atau menjarakkan diri daripada Yusoff.
“Perikatan Nasional sering menjaja imej sebagai pejuang Islam tetapi kini secara senyap bersekongkol dengan individu yang berdiri bersama Israel. Tiada penafian, tiada penjarakan. Cuma diam. Dan diam itu memberi makna,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya kenyataan sama dikeluarkan oleh mana-mana pihak prokerajaan, PN sudah pasti akan ‘bertempik di jalanan’ dan menuntut permohonan maaf terbuka.
“Tetapi apabila ia datang daripada individu yang menyerang Perdana Menteri, tiba-tiba semuanya senyap,” katanya.
Altimet menegaskan bahawa ketika negara memerlukan kestabilan dan tumpuan penuh dalam usaha menangani cabaran ekonomi, tindakan membawa Perdana Menteri ke mahkamah hanya akan melemahkan usaha tersebut.
“Kita berada dalam situasi yang genting. Harga barang keperluan meningkat, pelaburan luar diuji dan keselamatan makanan menjadi isu utama.
“Namun, apa yang kita lihat ialah satu tindakan bermotif peribadi yang mengalih perhatian dan mengganggu usaha membaik pulih ekonomi negara,” katanya.
Beliau turut menegur PN supaya tidak bermain dua watak dalam masa yang sama.
“Tidak boleh berkempen atas nama Islam tetapi pada masa sama menyokong secara politik individu yang menghina umat Islam dan membela Israel,” tegasnya.
Tegasnya lagi, isu ini bukan sekadar perbalahan politik biasa, sebaliknya menyentuh asas akidah, maruah negara dan kredibiliti moral.
“Rakyat berhak bertanya: mengapa Perikatan Nasional bersekongkol dengan individu yang berdiri bersama Israel, saat Palestin masih dibom dan dizalimi?” soalnya.
Justeru, Altimet menggesa agar semua pihak meletakkan kepentingan negara dan rakyat melebihi kepentingan politik sempit serta dendam peribadi.