SUNGAI BULOH - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan antara UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), susulan laporan mengenai hasrat Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai PKR.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan Tengku Zafrul untuk meninggalkan UMNO adalah hak peribadi yang tidak boleh dihalang parti dan ia turut mencerminkan karakter serta pendirian politik beliau.
"Apa pun, kerajaan yang ada pada hari ini adalah hasil gabungan parti-parti yang bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
"Sewajarnya, apa pun perlu ada hormat menghormati antara parti yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) dan Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) di Kem Sungai Buloh pada Selasa.
Sebelum ini, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO yang mana ia sudah dihantar kepada pimpinan parti.
Beliau juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Ditanya berhubung tuntutan kuota menteri untuk UMNO susulan tindakan Tengku Zafrul, Mohamed Khaled berkata, perkara tersebut akan dirunding dalam parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini berharap Kerajaan Perpaduan memberi satu jawatan menteri kepada UMNO bagi mencukupkan kuota tujuh menteri yang diperuntukkan kepada parti itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri memaklumkan, kedudukan Tengku Zafrul dalam Kabinet tidak terjejas biarpun beliau mengumumkan keluar UMNO dan berhasrat menyertai PKR.
Perdana Menteri berkata, Tengku Zafrul sudah memainkan peranan penting dalam menarik kemasukan pelaburan bernilai ratusan bilion ke dalam negara.