SHAH ALAM - Kehadiran lebih 17,000 ahli dalam persidangan cawangan Pemuda UMNO di seluruh Selangor membuktikan bahawa institusi politik itu masih kukuh dan terus relevan di peringkat akar umbi.
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, jumlah penyertaan yang tinggi itu mencerminkan komitmen dan semangat juang ahli-ahli Pemuda dalam memperkukuh peranan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
BBeliau yang mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Selangor pada malam Isnin turut merakamkan penghargaan kepada 1,136 cawangan yang berjaya melaksanakan persidangan masing-masing dari 7 April hingga 25 Mei lalu.
“Ini bukan sahaja memperlihatkan semangat ahli-ahli Pemuda, tetapi juga menunjukkan bahawa Pemuda UMNO kekal menjadi suara penting dalam membentuk dasar dan halatuju parti, terutama menjelang PRU16 nanti,” katanya.
Tambah Imran, Pemuda UMNO perlu diberi peranan lebih besar dalam Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat, bagi membolehkan mereka menyumbang secara lebih aktif kepada agenda pembangunan negara.
Mesyuarat turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Persidangan Pemuda Bahagian akan berlangsung bermula 9 Jun hingga 27 Julai 2025.