SHAH ALAM – Semua pemimpin parti dalam Barisan Nasional (BN) digesa mengadakan perbincangan segera mengenai hala tuju secara kolektif serta mengukuhkan penyatuan dalam kerangka gabungan itu.
Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong menegaskan bahawa BN merupakan wadah perjuangan yang wajib dipertahankan demi generasi akan datang.
Menurutnya, sejak perubahan landskap politik negara pada tahun 2018, Malaysia menyaksikan ketidaktentuan dalam pemerintahan, ketegangan sosial serta cabaran dalam pembangunan ekonomi.
“Kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) termasuk Kerajaan Madani menjadikan BN sebagai rakan kongsi kerana menyedari bahawa hanya Formula BN yang menekankan kerjasama antara kaum, kestabilan politik dan dasar pembangunan inklusif mampu mengembalikan kepercayaan rakyat serta membina semula negara.
“Namun BN perlu berwaspada dengan ‘musuh dalam selimut’ supaya tidak dipersenda, dianiaya, malah dipinggirkan sewenang-wenangnya dan harus bersedia mengambil tindakan drastik pada bila-bila masa demi mempertahankan hak dan martabat kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Kenyataan tersebut dibuat susulan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat yang mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Raja kepada pucuk pimpinan parti, selain menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam pada itu, Choo Seong yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA menyifatkan tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu sebelum tamat tempoh sebagai senator bukan sahaja merobek maruah BN, malah membuktikan tiadanya keikhlasan dalam kerjasama BN-PH.
“BN adalah warisan perjuangan, simbol kestabilan dan tonggak kemajuan negara yang telah terbukti sejak merdeka.
“Dulu, kini dan selamanya, semangat dan maruah BN perlu dipertahankan serta diperkukuhkan demi generasi akan datang,” ujarnya.