SHAH ALAM – "Sepatutnya letak jawatan menteri sekali."
Demikian kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung peletakan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz daripada UMNO.
“Dan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), moga boleh menerima permohonan masuk Tengku Zafrul ke dalam Keadilan dan seterusnya boleh menjadi bukti betapa ‘setianya’ persahabatan antara UMNO dan PKR,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Tengku Zafrul berkata, beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997.
Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal berkata, UMNO tidak terkesan dengan keputusan tersebut, malah ada dalam kalangan ahli yang menyambutnya dengan rasa gembira.
“Orang UMNO terlalu gembira dengan berita ini, datang tidak diundang, pergi pun tidak dikesali... UMNO parti kita semua,” ujarnya.