SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Angkatan Muda Keadilan (AMK), S K Dharshinee akan menumpukan sepenuh perhatian kepada isu yang lama membelenggu komuniti India seperti diskriminasi sistemik, pendidikan, ekonomi dan pengangguran.
Beliau yang merupakan satu-satunya wanita mewakili kaum India dalam MPP AMK berkata, pihaknya akan berusaha memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan dari segi penyertaan, kepimpinan, pendidikan politik dan pembangunan ekonomi.
Menurut Dharshinee, tujuannya melangkah ke hadapan bukan ingin dikenali semata-mata, sebaliknya percaya bahawa masyarakat India khususnya anak muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhak mendapat tempat yang lebih besar dan bermakna dalam arena politik negara.
"Ini bukan sekadar kemenangan peribadi, ini kemenangan buat suara anak muda terutamanya daripada komuniti yang sering terpinggir dalam wacana arus perdana. Saya berdiri bukan hanya mewakili kaum India, tetapi sebagai suara bagi mereka yang mendambakan keadilan.
"Dalam era politik baharu ini, kita perlu melangkaui batas kaum, agama dan jantina di samping membina negara atas asas kepelbagaian, keterangkuman dan harapan bersama.
"Saya berikrar akan menjadi jambatan antara suara rakyat dengan kepimpinan parti untuk menyuarakan keresahan dan aspirasi generasi muda tanpa takut atau kompromi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dharshinee, Muhammad Haziq Azfar Ishak, Nurhanani Dhamirah Razaleh, Nurazri Mohd Arifin dan Zaim Sidqi antara individu yang memperoleh undian sama iaitu 1,934 undi menjadikan mereka antara 20 ahli MPP AMK parti bagi sesi 2025-2028.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Muhammad Kamil Abdul Munim menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua AMK Pusat manakala timbalannya, Izuan Kasim memperoleh 3,339 undi.
Keputusan rasmi bagi kesemua jawatan dalam PKR diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa semasa Kongres Nasional Keadilan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada Jumaat lalu.
Naib Ketua AMK pula ialah Nabil Halimi dengan 2,784 undi, Dr Mohammed Taufiq Johari (2,780 undi) dan Chiew Choon Man (2,353 undi).