JOHOR BAHRU - Keadaan di Pusat Konvensyen Danga Bay di sini bagi Kongres dan Pemilihan PKR peringkat pusat berjalan lancar dengan ribuan ahli telah menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Seawal jam 8 pagi, ahli PKR dari seluruh negara sudah berada di Pusat Konvensyen Danga Bay, di mana acara dimulakan dengan kongres yang dirasmikan oleh Ketua Wanita PKR, Fadlina Sidek, dan turut dihadiri rakan-rakan Wanita DAP Johor.
Tinjauan mendapati keadaan di Pusat Konvensyen Danga Bay teratur dan dikawal rapi oleh petugas serta anggota polis yang ditempatkan di luar pusat bagi mengawal lalu lintas dan pergerakan orang ramai.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut bersidang dan melaksanakan proses pemilihan di Hotel Berjaya Waterfront.
Lebih 9,000 perwakilan daripada 222 cabang hadir bagi proses pengundian secara fizikal, manakala lebih daripada 20,000 perwakilan mengundi secara dalam talian.