JOHOR BAHRU - Semua pihak termasuk akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memainkan peranan penting bagi memastikan parti kekal utuh dan tidak berpecah selepas selesai Pemilihan PKR 2025.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, usaha untuk merapatkan semula hubungan dalaman parti wajib disegerakan kerana negara bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam tempoh terdekat.
“Ibarat peribahasa ‘biduk berlalu, kiambang bertaut’, kita tidak boleh ambil masa terlalu lama. Kena bertaut semula dengan segera kerana kita akan hadapi PRN dan PRU16.
“Saya selaku Setiausaha Agung telah turun ke lapangan melalui siri jelajah untuk membawa mesej konsiliasi dan rekonsiliasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Bersama Kongres AMK dan Wanita di Berjaya Waterfront Hotel di sini pada Khamis malam.
Hadir sama Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Cabang Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.
Pemilihan PKR kali ini turut menjadi tumpuan apabila jawatan Timbalan Presiden menyaksikan persaingan antara dua tokoh utama parti, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar yang dilihat berpotensi menimbulkan ketegangan dalaman.
Pada masa sama, Fuziah turut mengingatkan semua ahli supaya menjaga kestabilan parti dan tidak bertindak seperti ’menebuk kapal’ sendiri hingga akhirnya memusnahkan perjuangan bersama.
“Parti ini ibarat kapal. Kalau ada yang menebuknya, maka karam lah ia. Jadi menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga dan mempertahankan organisasi ini," ujarnya.
Tambah beliau, semua ahli perlu terus bersatu dalam memperjuangkan hala tuju parti serta menyokong penuh kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.
Jelasnya, nasihat dan peringatan itu bukan ditujukan kepada mana-mana pihak secara khusus, sebaliknya satu peringatan umum kepada seluruh keluarga besar PKR.