PRU saya keenam: Hok Liong

LABIS - “Ini merupakan kali keenam saya tercalon untuk PRU dan kali ini saya bertanding untuk menang walaupun terpaksa bertanding tiga penjuru,” kata calon Parlimen Labis, Pang Hok Liong.

Hong Liong, 61, yang juga calon PKR berkata, beliau mula bertanding mewakili DAP di Dun Bekok pada PRU8 pada 1990 sewaktu usianya berumur 33 tahun.

Katanya, penyertaannya buat kali pertama di dalam PRU tersebut juga membawa tuah apabila dia berjaya menewaskan calon BN ketika itu, Lim Si Cheng dengan mendapat 7,348 undi dengan majoriti sebanyak 290 undi.

“Buat pertama kali ketika itu, tiga wakil rakyat daripada DAP iaitu saya, Adun Jementah dan Adun Maharani masing-masing menjadi wakil rakyat DAP yang menjejakkan kaki ke dalam Sidang Dun Johor.

“Jadi, saya melihat pencalonan saya sebagai Ahli Parlimen Labis ini merupakan satu kesinambungan karier politik saya kerana sebelum ini saya pernah menjadi Adun Bekok dan kembali semula untuk berkempen di Bekok selepas 28 tahun,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, selain kerusi Dun Bekok, beliau sebelum ini juga pernah bertanding di kerusi Parlimen Segamat dan Dun Jementah pada PRU9 sehingga PRU12 sebelum memberi laluan kepada calon PKR, Datuk Seri Dr Chua Jui Meng yang ingin berlawan dengan penyandang Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada PRU13.

Katanya, dengan separuh daripada umurnya terlibat di dalam politik, beliau yakin pengundi di Parlimen Labis akan melihatnya sebagai satu kelebihan berbanding calon-calon lain.

“Sebenarnya, saya bertanding bukan untuk diri saya, sebaliknya untuk generasi-generasi yang akan datang kerana kami (Harapan) yakin mampu mentadbir urus negara ini dengan lebih baik berbanding kerajaan yang ada pada hari ini.

“Kami hanya perlukan lima tahun untuk buktikannya kerana kita hendak betulkan perkara yang tidak betul manakala perkara yang betul kita akan teruskan sekiranya dipilih menjadi kerajaan,” katanya.

Pang Hok LiongLabis PKR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :