SHAH ALAM – Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyifatkan ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai seorang pemimpin yang tidak pernah meminta untuk dikenang, namun sejarah tetap mencatatkan pengorbanannya.
Ucapan sempena Hari Ibu itu dikongsikan oleh Nurul Izzah pada Ahad, yang turut mengakui bahawa ibunya adalah seorang pemimpin yang teguh berpegang kepada prinsip.
“Saya teringat kembali tahun 1998, saat yang mengubah seluruh hidup kami. Waktu itu, saya masih di tahun akhir universiti dan mama, daripada seorang doktor mata, tiba-tiba memikul beban berat gerakan reformasi.
“Hari ini, saya ingin merakam penghormatan buat seorang wanita luar biasa, ibu saya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Walaupun ditawarkan jawatan tertinggi negara, beliau memilih untuk mendahulukan perpaduan dan kestabilan. Itulah kekuatan sebenar seorang wanita dan saya tidak pernah berdiri sendiri.
“Ada ribuan lagi wanita yang menjadi tulang belakang perjuangan ini. Saya ingin mengangkat nama-nama seperti Mak Cik Norhina, yang membuka markas pertama Reformasi di Sabah menerusi ruang tamu rumahnya di Sepanggar, dan ramai lagi ibu-ibu yang menjelajah seluruh negara membawa suara reformasi,” katanya di Facebook.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa dunia bukan sahaja memperingati Hari Ibu tetapi juga mengenang keteguhan wanita-wanita di Gaza yang tetap berdiri walaupun berdepan dengan situasi perang.
“Hari ini, kita juga mengenang wanita-wanita gagah di Gaza, yang dalam derita peperangan masih teguh mendidik anak-anak, menyuluh harapan dari celahan runtuhan.
“Mereka semua ibu kita, sahabat kita, ibu Reformasi kita, adalah sumber kekuatan yang tidak ternilai. Al-Fatihah buat semua ibu-ibu Reformasi yang telah kembali ke rahmatullah. Insya-ALLAH, kami teruskan langkah ini dengan semangat kalian dalam jiwa kami,” ujarnya.
Sementara itu, Nurul Izzah turut menghargai jasa dan pengorbanan semua wanita dan ibu yang tidak jemu menjadi ‘cahaya’ dalam kehidupan orang lain.
“Ada yang mengurus anak-anak sambil bekerja sepenuh masa. Ada yang menjaga ibu bapa yang semakin uzur, sambil mendukung tanggungjawab sebagai ketua keluarga sendirian. Tetap tersenyum, tetap bangkit,” katanya.