Agihan kerusi PRN Melaka, kepimpinan tertinggi putuskan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa ahli parti tidak terlalu memfokuskan kepada isu pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau menegaskan, perkara tersebut seharusnya diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jangan layani emosi dan analisis serta perspektif masing-masing. Soal itu terutamanya pembahagian kerusi, serahkan kepada serahkan kepada kepimpinan tertinggi.

“Kami (kepimpinan tertinggi) sering bertemu dan mengadakan rundingan dan perkara ini (pembahagian kerusi di Melaka) tidak dibincangkan. Jadi tidak perlu bangkitkan perkara ini sama ada oleh UMNO atau Amanah (Parti Amanah Negara).

"Saya fikir perkara ini sangat pramatang untuk dipolimikkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari UMNO ke-79 dan Konvensyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Ahad.

Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mengingatkan Pakatan Harapan (PH) Melaka supaya tidak terlalu berharap untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Beliau yang juga ADUN Merlimau menegaskan, ini kerana BN tidak sesekali akan melepaskan kerusi yang dimenangi pada PRN lalu kepada gabungan berkenaan, termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH.

Sementara itu mengulas mengenai kerjasama menjelang PRN Sabah, beliau yang juga Pengerusi BN menjelaskan, gabungan BN-PH tidak berhasrat untuk bergerak secara solo.

Namun beliau dilihat memberi bayangan gabungan tersebut akan menjalin kerjasama dengan parti tempatan lain.

"Keputusan BN-PH bukan satu 'plus' tetapi 'plus plus plus'. Ini memperlihatkan keterbukaan kita, pastinya tidak ada parti politik Semenanjung (jika) tidak ada parti politik Sabah. Kita harus kombinasikan antara parti Pusat dan parti negeri.

"Sebab akhirnya kerajaan bakal terbentuk selepas PRN17 Sabah adalah kerajaan bersama-sama yang memastikan perancangan pembangunan negeri itu dapat dilaksanakan seterusnya," ujarnya.