DAP sedia hadapi PRN Johor, perkukuh akar umbi

KLUANG - DAP Johor menegaskan kepentingan memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka seawal tahun hadapan.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, semua jentera parti di peringkat cawangan perlu berada dalam keadaan siap siaga memandangkan senario politik di negeri ini berbeza daripada di peringkat Persekutuan.

“Saya menyeru seluruh anggota parti untuk memperkemas dan memperkukuh kerja-kerja akar umbi.

“Cawangan-cawangan DAP di peringkat daerah seperti di Kluang, merupakan tunjang kekuatan parti di zon Johor tengah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Berkelompok melibatkan 15 cawangan DAP di Kluang baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi DAP Johor, Wong Shu Qi; Naib Pengerusi, Gan Peck Cheng; Setiausaha, Andrew Chen Kah Eng; serta beberapa pimpinan negeri yang lain.

Menurut Sheikh Umar, sama ada PRN nanti menyaksikan DAP bertanding atas tiket Kerajaan Perpaduan atau Pakatan Harapan (PH), kekuatan akar umbi kekal sebagai kunci utama kejayaan parti.

“Kita perlu menaruh keyakinan kepada kepimpinan parti dalam menentukan hala tuju seterusnya. Apa yang lebih penting ialah membuat persiapan rapi supaya kemenangan dapat dicapai,” katanya.

Untuk rekod, PRN Johor pada Mac 2022 menyaksikan PH dan sekutunya memenangi 13 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

DAP memenangi 10 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), dan MUDA masing-masing meraih satu kerusi.