ALOR SETAR - Dakwaan kononnya Kerajaan Perpaduan hanya dipimpin oleh UMNO dan DAP disifatkan sebagai tidak berasas, malah merupakan satu lagi taktik pembangkang untuk mengelirukan rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tohmahan tersebut sering dijadikan modal politik setiap kali berlangsung pilihan raya kecil (PRK) demi meraih sokongan melalui sentimen negatif.
“Penjelasan saya mudah, kerajaan ini tidak terbina hanya atas gabungan UMNO dan DAP semata-mata, sebaliknya, ia didukung oleh 18 parti yang berbeza,” katanya ketika sidang media selepas melawat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah pada Selasa.
Menurutnya, sekiranya hanya UMNO dan DAP membentuk kerajaan, jumlah kerusi Parlimen yang mereka miliki hanyalah 70, jauh daripada majoriti mudah 112 kerusi yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.
“Ketika ini, Kerajaan Perpaduan memiliki 153 kerusi. Bermula dengan 148 kerusi, tolak satu (Muar) menjadi 147.
"Kemudian, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan, menjadikan keseluruhan 153 kerusi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun Parti MUDA telah menarik diri daripada gabungan, penyertaan enam wakil rakyat Bersatu memastikan jumlah parti penyokong kerajaan kekal 18.
“Jadi, tuduhan bahawa kerajaan ini adalah ‘UMDAP’ tidak berasas. Ada 18 parti bersama kita, jangan hanya baca dua nama,” tegasnya.
Menurutnya, jelas terbukti perbezaan antara kerajaan dan pembangkang adalah dari segi naratif yang dibawa kepada rakyat.
“Pembangkang terus memainkan sentimen negatif yang tidak berlandaskan fakta, sebaliknya, kami membina naratif berasaskan kebenaran. Rakyat memilih berdasarkan siapa yang bercakap benar, bukan sebaliknya.
“Siapa yang bercakap benar, akan menang. Siapa yang berbohong, akan kalah,” katanya lagi.
Ahmad dalam masa yang sama turut menyeru agar pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian menyampaikan penjelasan ini kepada ahli-ahli sepanjang mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung, termasuk di sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.