TAPAH - Dr Mohamad Yusri Bakir memulakan tugas sebagai wakil rakyat baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan meninjau projek baik pulih rumah milik seorang warga emas di Kampung Jawa Batu Masjid di sini.
Projek di kediaman Mohd Mansor Selamat, 87, itu merupakan usaha bekas ADUN Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Sharuddin dan telah diluluskan Mac lalu.
Menurut Mohamad Yusri, baik pulih yang dijalankan melibatkan bahagian bumbung dan tingkap serta beberapa komponen lain mengambil kira keadaan rumah yang sudah usang dan reput.
"Kehadiran saya hari ini untuk meninjau perkembangannya. Insya-ALLAH kerja-kerja baik pulih akan dimulakan minggu depan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
**media[3101979]**
Beliau memberi komitmen untuk terus mendahulukan masalah rakyat sepertimana manifesto tiga tekad, tujuh tawaran yang dibentangkan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
"Bantuan baik pulih ini juga salah satu daripada aspirasi tawaran tersebut dan sebenarnya ia sudah pun kita laksanakan ketika tempoh Allahyarham menjadi wakil rakyat.
"Saya akan meneruskan usaha-usaha tersebut memastikan bantuan dan keselesaan penduduk dapat kita ikhtiarkan," katanya.
Sementara itu, Mohd Mansor berkata, kediaman berusia lebih 60 tahun itu dahulunya dibina dengan kudrat sendiri.
"Dulu bila rumah bocor dan rosak, kerajaan juga yang bantu.
"Alhamdulillah, saya gembira dan senang hati apabila ada wakil rakyat yang prihatin. Dulu pun arwah YB (Yang Berhormat) dua kali datang tengok rumah di sini," katanya.
Terdahulu, Mohamad Yusri bertemu masyarakat di sekitar kawasan DUN Ayer Kuning antaranya Batu 3, Kampung Batu Masjid, pekan Air Kuning dan Tapah Road bagi menyatakan penghargaan atas kemenangan Barisan Nasional (BN).
Kehadiran bekas guru berusia 54 tahun itu disambut baik orang ramai termasuk masyarakat Tionghua.
Keputusan PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan Mohamad Yusri daripada BN menang dengan majoriti 5,006 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).