PRK Ayer Kuning bukti PSM potensi jadi kuasa ketiga

TAPAH – Parti Sosialis Malaysia (PSM) melihat keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai isyarat awal bahawa parti itu mampu membina asas sebagai kuasa ketiga dalam lanskap politik negara.

Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS berkata, meskipun jumlah undi yang diterima masih rendah, peningkatan sebanyak 520 undi berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan bahawa rakyat memberi ruang kepada PSM untuk terus berkembang.

"Ini menunjukkan rakyat masih ada sokongan. Walaupun jumlah itu sangat rendah, rakyat masih memberi kepercayaan kepada PSM," katanya kepada Sinar Harian.

Bawani, yang bertanding kali kedua di kerusi DUN Ayer Kuning berkata, PRK ini turut memperlihatkan cabaran sebenar bagi parti-parti alternatif berikutan peratusan keluar mengundi yang rendah, terutamanya dalam kalangan pengundi muda.

"Berbanding PRU15, di mana 74 peratus keluar mengundi, kali ini hanya 54 peratus. Banyak pusat daerah mengundi (PDM) dan saluran 3 serta 4 yang merupakan majoriti orang muda menunjukkan kehadiran rendah," katanya.

Mengulas lanjut, Pengerusi PSM Perak itu berkata, tinjauan di beberapa PDM yang majoritinya pengundi bukan Melayu mendapati sejumlah besar pengundi tidak turun mengundi.

"Kalangan saluran satu dan dua yang kebiasaannya mewakili pengundi berusia juga, kita perhatikan ramai tidak keluar mengundi. Ini memerlukan analisis lanjut sama ada ia undi protes atau kekecewaan terhadap pilihan sedia ada," tambahnya.

Walaupun keputusan rasmi PRK menyaksikan beliau sekali lagi tewas dan hilang deposit, namun Bawani menegaskan bahawa perjuangan PSM tidak akan terhenti.

"Walaupun kita tidak dapat sokongan majoriti di peti undi, tetapi sokongan di luar memang sangat baik dan positif. Ini satu kesempatan kepada PSM bersama Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) mendokong perubahan landskap politik negara," katanya.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, Bawani memperoleh 1,106 undi, tewas kepada calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir yang memperoleh 11,065 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek mendapat 6,059 undi.

Bawani juga tewas di kerusi yang sama pada PRU15, dengan hanya memperolehi 586 undi.

Sebelum itu, pada PRU14, Bawani bertanding di kerusi DUN Malim Nawar, namun tewas dengan hanya 213 undi.