KUALA TERENGGANU - Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menafikan sebarang kaitan dengan akaun media sosial dikenali sebagai Gema Biru yang didakwa menyebarkan kenyataan serta poster palsu menggunakan namanya.
Menurutnya, akaun tersebut tidak pernah mewakili Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO Terengganu secara rasmi dan dikendalikan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencetuskan kekeliruan serta menggugat ketenteraman awam.
"Akaun Gema Biru ini jelas dimiliki oleh pihak musuh yang mempunyai agenda politik tertentu. Mereka menyebarkan fitnah dan menggunakan wajah saya dalam poster palsu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
**media[3096636]**
Tengku Haphiz berkata, pihaknya telah membuat beberapa laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pengurusan Facebook untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menggesa pentadbir laman sosial termasuk pengendali Facebook segera membatalkan akaun tersebut dan menyekat segala aktiviti yang boleh mencemarkan nama baik dirinya dan parti.
"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang disebarkan. Justeru, saya mohon semua pihak yang telah berkongsi poster palsu itu supaya memadamkannya dengan segera," ujarnya.
Sebelum ini, tular kenyataan daripada akaun tersebut mendakwa Pemuda UMNO Terengganu akan membuat laporan polis terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan mengundi lebih utama daripada menunaikan haji.