BN giat santuni pengundi ‘kelabu’ Ayer Kuning, usaha tarik undi

TAPAH - Barisan Nasional (BN) sedang mempergiatkan usaha menyantuni pengundi ‘kelabu’ atau golongan atas pagar agar memilih parti berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya sudah menemui pengundi ‘putih’ dan mengenal pasti angka sokongan, namun dalam masa sama menumpukan golongan atas pagar.

Menurutnya, pengundi kelabu dilihat masih kabur dan ragu-ragu untuk memilih BN.

“Ini yang kita perlu dekati dan beri penerangan kerana ada isu-isu yang mengganggu pemikiran serta sokongan mereka.

“Jadi, petang dan malam ini saya akan jumpa untuk berdialog dan menjawab sebanyak mungkin soalan yang mereka sendiri nak tahu daripada kepimpinan parti.

“Terutamanya banyak tuduhan mengatakan UMNO bergabung dengan DAP, itu isu utama dimainkan padahal UMNO tak pernah bergabung dengan sesiapa.

“UMNO hanya menubuhkan kerajaan atas asas mahu menguruskan negara kerana parti yang mendapat banyak undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dahulu gagal tubuh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyantuni penduduk Ayer Kuning di pusat daerah mengundi (PDM) Batu Tiga, di sini pada Khamis.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah di sini.

BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 39.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan, golongan pengundi ‘kelabu’ majoritinya terdiri daripada anak muda yang belum pernah membuang undi.

“Mereka ini tak pernah ada parti dan bukan orang parti.

“Cuma budak biasa yang nak kepastian sebelum beri mandat kepada calon parti pilihan,“ ujar beliau.