PONTIAN – Mesyuarat cawangan UMNO di seluruh negara bermula minggu lalu sewajarnya menjadi platform penting bagi perbincangan dan penjelasan pelbagai isu semasa yang berlegar dalam kalangan rakyat terutama di media sosial.
Ahli Majlis Kerja Tertingi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, maklumat tepat perlu agar ahli tidak terus dikelirukan dengan dakyah pihak tertentu menjelang pilihan raya umum (PRU) dan dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor turut meminta 26 bahagian di negeri ini dapat menyediakan fakta-fakta penting kepada penyelaras yang akan menghadiri mesyuarat di peringkat cawangan.
“Antara isu yang sering dimainkan adalah gelaran UMDAP kepada UMNO sedangkan Kerajaan Perpaduan telah ditubuhkan selama tiga tahun.
“Kerajaan Perpaduan bukan ditubuhkan antara UMNO dan DAP sahaja tetapi melibatkan gabungan 18 parti yang mendukung titah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pulai Sebatang bersama Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan UMNO Pontian pada Rabu.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu menambah mesyuarat cawangan juga merupakan masa terbaik untuk memberi pencerahan memandangkan terdapat kebimbangan terhadap ekonomi negara dan dasar tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu kira-kira 2,000 cawangan UMNO dengan anggaran keahlian seramai 452,642 orang perlu mengadakan mesyuarat cawangan masing-masing sebelum 25 Mei depan sebagaimana ditetapkan oleh MKT UMNO.
"Walaupun kita masih dalam suasana Hari Raya Aidilfitri, tanggungjawab sebagai ahli parti perlu dilaksanakan selaras dengan peraturan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia," jelasnya.
MKT UMNO sebelum ini memutuskan mesyuarat cawangan UMNO diadakan bermula 7 April hingga 25 Mei, Persidangan Perwakilan Bahagian dari 9 Jun hingga 27 Julai dan Perhimpunan Agung UMNO pada 20 hingga 23 Ogos.