JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mengumumkan pelantikan bekas Exco Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad sebagai bendahari negeri yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu dibuat bagi memperkukuh struktur pengurusan parti dalam usaha menghadapi cabaran pilihan raya dan memperkukuh Kerajaan Madani di peringkat negeri.
Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan berkata, pengalaman luas Mohd Izhar dalam pentadbiran kerajaan negeri dilihat mampu memperkasakan parti, khususnya di Johor.
“Pihak kami berbesar hati dengan semangat dan iltizam Mohd Izhar yang mahu meneruskan usaha memperkuatkan Amanah dan membawa obor perjuangan Kerajaan Madani sebagai asas matlamat beliau,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad yang keluar daripada Bersatu pada tahun 2022 mengumumkan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Borang keahlian diserahkan kepada Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pada program ceramah Mega Perpaduan Madani di Taman Rekreasi Taman Uda Utama di sini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 2023.
Mohd Izhar, yang juga bekas Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, membuat keputusan keluar daripada Bersatu selepas hilang kepercayaan terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.