SHAH ALAM - Landskap politik di Cabang Keadilan Shah Alam menyaksikan perubahan drastik apabila Mohd Najwan Halimi menewaskan penyandang jawatan, Rodziah Ismail dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.
Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang dan tokoh senior parti terpaksa akur kepada gelombang kebangkitan kepimpinan muda di cabang berkenaan.
Daripada 3,307 ahli berdaftar, sebanyak 2,637 undi telah dikeluarkan.
Najwan mencatat kemenangan meyakinkan dengan 1,213 undi, menewaskan Rodziah yang memperoleh 899 undi. Seorang lagi calon, Noryzal Zainal Abidin, meraih 513 undi.
Kemenangan ini bukan sekadar peralihan kuasa, tetapi turut mencerminkan aspirasi baharu dalam kalangan akar umbi untuk melihat pendekatan yang lebih segar dan progresif.
Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik dikenali sebagai pemimpin muda lantang bersuara dan aktif dalam gerakan pemuda parti.
Kejayaan beliau dianggap sebagai titik tolak kepada penyusunan semula strategi PKR di Shah Alam, satu kawasan penting dalam landskap politik Selangor.