PRK Ayer Kuning: Pemuda MCA siap sedia hadapi perang siber

TAPAH – Pemuda MCA bersiap sedia berdepan peperangan media sosial dalam usaha mempertahankan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 April ini.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, gerak kerja siber akan menjadi antara fokus utama jentera parti bagi menangkis segala bentuk serangan daripada pihak lawan sepanjang tempoh kempen.

Menurutnya, Pemuda MCA sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi ‘peperangan’ dalam ruang maya.

"Kita akan pastikan segala tohmahan atau dakyah yang cuba menjejaskan imej calon BN dapat ditangkis secara berkesan.

“Namun dalam masa yang sama, jentera BN tidak boleh leka atau terlalu yakin. Keutamaan tetap pada memastikan pengundi keluar mengundi dan memberi kepercayaan kepada calon BN,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Semalam, Dr Mohamad Yusri Bakir, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, diumumkan sebagai calon BN bagi PRK berkenaan.

Menurut Neow, Pemuda MCA juga menumpukan usaha untuk menggerakkan pengundi berdaftar, khususnya masyarakat Tionghua yang membentuk 21 peratus daripada jumlah pengundi di Ayer Kuning.

“Kita akan berkempen untuk meyakinkan rakyat agar memilih calon yang mampu berkhidmat secara inklusif dan mewakili semua kaum,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda MCA yakin dengan pilihan calon yang dibuat pucuk pimpinan parti, namun kemenangan tidak akan datang tanpa usaha keras jentera di semua peringkat.

Dalam masa sama, Pemuda MCA bersama Pemuda BN yang dipimpin Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh giat melaksanakan pelbagai aktiviti turun padang untuk mendekati golongan muda di kawasan itu.

“Kita mahu suara anak muda terus didengari oleh kepimpinan, baik di peringkat tempatan mahupun nasional,” katanya.