Razman hadir rai penamaan calon PN
NORMAWATI ADNAN -
8 April 2025
TAPAH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria dilihat hadir meraikan Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada Selasa.
Ketua Pembangkang DUN Perak itu hadir lebih awal bersama pimpinan Pas negeri dan Pusat termasuk Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad sebelum majlis bermula di Dataran Awam Tapah Road di sini.
Beliau duduk di barisan hadapan atas pentas bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dominic Lau.
Kehadiran Timbalan Pengerusi PN negeri itu mencuri tumpuan kemungkinan kembali aktif dalam pentas ceramah dan politik terutama dalam kempen PRK ini.
Media pada 1 Mac lepas melaporkan, Razman direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak susulan beberapa isu yang melibatkan pemimpin itu termasuk mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).