YDP Pas Tapah dipilih calon PN

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek dipilih sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim sempena Majlis Pengisytiharan Calon PN PRK N.48 Ayer Kuning di Dataran Awam Tapah Road di sini pada Selasa.

Selain memimpin Pas Kawasan Tapah, beliau merupakan Pengerusi PN Parlimen Tapah.

Ketika berucap selepas diumumkan sebagai calon, Abd Muhaimin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberikan pimpinan terhadap sebagai calon.

Beliau berkata, amanah diberikan mewakili PN dalam PRK ini cukup besar meskipun belum tahu keputusan menang atau kalah.

"Untuk menjadi calon sahaja merupakan satu bebanan yang besar. Terima kasih kepada seluruh kepimpinan Perikatan Nasional yang memberikan kepercayaan kepada saya," katanya.

Beliau optimis, sokongan dan restu semua pihak serta kerja keras jentera bersama komponen PN akan memberi kekuatan luar biasa kepada beliau di kawasan tersebut.

"Bantulah saya dan Perikatan Nasional, berilah peluang untuk kita mentadbir, mengurus kawasan ini dengan penuh keikhlasan, ketulusan, kejujuran dan keadilan berpaksikan prinsip Islam dan nilai-nilai murni dalam agama," katanya.

Abd Muhaimin, 44, merupakan anak jati yang menetap di Ayer Kuning merupakan Pengetua Maahad Tahfiz Addin Air Kuning sejak tahun 2015.

Berpengalaman luas dalam dunia pendidikan, dakwah dan pembangunan insan, beliau juga merupakan penggubal silibus kurikulum Yayasan Addin serta guru tauliah dan takmir Negeri Perak.

Beliau pernah menuntut ilmu di Syria dan kemudiannya di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah.

Selain daripada menjadi motivator dan pensyarah jemputan, beliau juga aktif dalam pembangunan masyarakat sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Insan Bidor dan AJK Masjid Jamek Air Kuning.

Dalam arena politik, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas Kawasan.