SEREMBAN - Meremajakan UMNO tidak semestinya dengan meletakkan calon muda dalam pilihan raya mewakili parti, sebaliknya aspek lain turut diberikan penekanan termasuk kredibiliti dan kelancaran gerak kerja.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha tersebut turut merangkumi pemberian peluang kepada ahli akademik untuk menonjolkan diri dan membawa perubahan dalam parti.
"Apabila kita pilih calon muda di DUN Mahkota, bukan kerana dia orang muda semata-mata tetapi disebabkan itulah calon paling sesuai dan terbaik.
"Manakala di Ayer Kuning pula, Dr Mohamad Yusri Bakir merupakan calon terbaik selepas pertimbangan dibuat terhadap kesemua enam calon yang disenaraikan.
"Beliau sendiri merupakan ahli akademik, jadi ini adalah sebahagian usaha meremajakan parti yang bukan dilihat dari segi umur semata-mata," katanya ketika mengulas pemilihan Mohamad Yusri, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Mohamad berkata demikian semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat pentadbiran Daerah Seremban di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban 2, pada Selasa.
Pada Isnin, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Mohamad Yusri sebagai calon BN dalam Majlis Pelancaran Jentera PRK DUN Ayer Kuning di Pusat Arahan BN, Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh.
Turut hadir, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mohamad Yusri, 54, merupakan calon tempatan yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Mohamad menjelaskan, selain kelebihan akademik, Mohamad Yusri juga seorang yang disenangi dan diterima baik di peringkat bahagian serta masyarakat.
"Jadi, kita harap pengundi di Ayer Kuning berpuas hati dengan calon yang BN letakkan dan memberikan mandat kepada beliau untuk menjadi wakil rakyat serta meneruskan kerja-kerja yang telah dirancang oleh ADUN terdahulu.
"Kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan juga dilihat baik dan diharap usahasama ini membuahkan hasil yang positif," tambahnya.
Ujar beliau, walaupun calon mempunyai kelebihan untuk menang, parti tetap tidak mengambil mudah apabila proses pemilihan calon dilakukan secara teliti bagi memastikan wakil yang dipilih benar-benar mampu memberikan khidmat terbaik kepada parti serta pengundi.