PRN Sabah: KDM nafi wujud gabungan dengan parti lain

KOTA KINABALU - Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menafikan wujud gabungan atau jalinan kerjasama dengan parti lain untuk berhadapan dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan KDM, Mohd Ari-Nadzrah Abd Rahman berkata, parti itu masih kekal dengan keputusan sebelum ini iaitu bergerak secara solo pada PRN17 nanti.

Katanya, mana-mana program parti lain yang mengaitkan KDM adalah tidak benar termasuk yang tular di media sosial ketika ini.

"KDM ingin tegaskan yang kita sudah membuat keputusan untuk bergerak solo pada PRN17 nanti dan keputusan itu kekal.

"Sebarang program diadakan oleh parti lain yang mengaitkan KDM adalah tidak betul," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung satu program yang tular di media sosial, kononnya dianjurkan Parti Sedar Rakyat (Sedar) bersama KDM.

Tegasnya lagi, program tersebut berlangsung di luar pengetahuan KDM dan jika ia mengaitkan parti itu adalah tidak benar.

"Ini juga mungkin bertujuan untuk mencemarkan reputasi KDM sebagai sebuah parti tempatan yang akan bersaing pada PRN17 nanti," katanya.

Sebelum itu, dalam atur cara yang tular memaklumkan program tersebut melibatkan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Sedar dan KDM dalam menghadapi PRN17 serta pelancaran program Demonstrasi Agridrone Flying.

Program itu dijadualkan berlangsung sekitar jam 9.30 pagi pada Selasa di Karanaan View, Kota Belud.

Turut tertera di dalam atur cara tersebut adalah kehadiran Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda.