PRK Ayer Kuning: Pas yakin calon PN boleh menang

KOTA BHARU - Pas yakin calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak mampu menewaskan calon Barisan Nasional (BN) meskipun berdepan individu yang berlatar belakangkan pendidikan agama.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, calon PN akan diumum secara rasmi pada majlis yang diadakan di Taman Awam Tasek Temoh, Perak pada malam Selasa.

“Kita percaya calon kita boleh menangi calon BN.

“Dalam pemilihan calon, Pas tetap mengambil kira latar belakang agama sebagai asas utama, tapi ada tempat yang rakyat lebih lihat kepada siapa boleh berkhidmat, bukan kelulusan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Mohd Amar memberi contoh kemenangan calon PN ketika PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang walaupun berdepan calon BN yang lebih berkelulusan.

**media[3076025]**

“Calon kami di sana kurang dari segi kelulusan tapi rakyat nampak beliau boleh dipercayai untuk bawa suara mereka,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman gerak kerja di Sungai Bakap akan dijadikan panduan dengan beberapa penyesuaian mengikut keperluan setempat di Ayer Kuning.

“Kita akan guna pengalaman dan strategi dengan ubah suai mengikut keadaan setempat insya-ALLAH,” katanya.

BN pada Isnin mengumumkan individu bergelar ustaz iaitu Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Yusri Bakir sebagai calon PRK DUN Ayer Kuning April ini.

Sementara itu, majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan Pas Pengkalan Chepa terbabit berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Kami jemput semua lapisan masyarakat.

“Ada juga agihan duit raya kepada kanak-kanak berjumlah 1,000 sampul raya,” kata Mohd Amar.