PRK Ayer Kuning: Amanah pastikan 5 PDM dijaga menang

TAPAH - Parti Amanah Negara (Amanah) akan memastikan lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang menjadi tanggungjawab parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli berkata, lima PDM yang menjadi tanggungjawab parti itu ialah Tanjung Keramat, Ayer Kuning, Ayer Kuning Selatan, Sungai Kroh dan Batu Tiga.

Menurutnya, sehubungan itu jentera Amanah akan digerakkan mengikut giliran bermula dari hari penamaan calon pada 12 April sehingga hari pengundian pada 26 April.

"Amanah diberi peranan penting dalam membantu gerak kerja jentera Perpaduan bersama rakan-rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan BN.

"Kita telah menetapkan beberapa sasaran yang ingin dicapai bersama dalam memastikan kemenangan calon Perpaduan, yang akan mewakili BN pada PRK ini," katanya kepada pemberita di Bilik Operasi Amanah di Tanjung Keramat, di sini pada Isnin.

Hatta berkata, mesyuarat pertama Jentera Induk PRK Amanah telah diadakan secara bersemuka di Batu Tiga bagi menyusun gerak kerja parti sepanjang tempoh kempen.

Beliau turut menyeru seluruh jentera Amanah dan gabungan Perpaduan untuk memberi tumpuan di kesemua 20 PDM di DUN Ayer Kuning sepanjang tempoh kempen.

"Gerak kerja bersepadu ini penting bagi menggabungkan semula undi-undi yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan menterjemahkannya kepada kemenangan calon Perpaduan di Ayer Kuning.

"Kita yakin, dengan semangat kerjasama antara semua pihak, kita dapat meraih kejayaan pada PRK ini," katanya.

Pada Isnin, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir dipilih sebagai calon mewakil BN bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Mohamad Yusri, 54, merupakan calon tempatan yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bekas guru itu kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Tapah, Ahli Majlis Daerah Tapah dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).