KOTA KINABALU - Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan berlangsung pada tahun ini.
Bagaimanapun, Presidennya Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, hasrat itu belum dapat dimaklumkan secara terbuka, namun USNO sudah bersedia untuk berhadapan dengan rakyat.
"Ya, ada (sasaran kerusi USNO) tetapi saya tidak boleh zahirkan sekarang kerana setiap parti sudah tentu mahu bertanding. Jadi rekod kami ketika bertanding pada PRN16 itu sebagai pengiklanan kepada rakyat.
"Ketika itu kami langsung tidak bersedia, ketika saya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, satu cawangan pun tiada.
**media[3018659]**
"Jadi sekarang ini kami lebih bersedia berhadapan dengan rakyat kerana USNO mula terdedah ekoran ikut jelajah GRS, jelajah Wanita, Pemuda dan jelajah sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Jelajah USNO Peduli Rakyat Zon 3 di dewan Kampung Warisan, Inanam, di sini, pada Sabtu.
Ditanya mengenai spekulasi USNO berhasrat bertanding sekurang-kurangnya di empat kerusi DUN, bekas Speaker Dewan Rakyat itu berkata, ia hanyalah spekulasi.
Dalam pada itu, Pandikar tidak menolak untuk bertanding pada PRN kali ini kerana merasakan masih layak untuk dicalonkan namun dalam masa sama, beliau akan melihat situasi semasa.
"Saya tidak boleh cakap saya bertanding atau tidak, ikut keadaan. Misalnya saya lihat masih ramai orang tua daripada saya bertanding, saya pun tidaklah malu untuk bertanding kerana semua tua.
"Tapi kalau yang bertanding itu semua muda, saya pula terhegeh-hegeh untuk bertanding, malulah saya sendiri, jadi ikut keadaan.
"Saya rasa saya masih kuat walaupun saya bertongkat (jika diberi peluang), saya layak untuk bertanding, saya calon yang boleh menang, saya boleh bercakap, saya tidaklah hal-hal lain, saya rasa saya layak bertanding.
"Tetapi terpulang kepada saya mahu bertanding atau tidak ataupun dicadang oleh parti atau tidak," katanya.