PRN Sabah: Warisan belum buat keputusan gabung mana-mana parti

SANDAKAN - Parti Warisan (Warisan) belum membuat sebarang keputusan untuk bergabung dengan mana-mana parti lain menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun ada desas-desus mengenai perkara itu tetapi pihaknya belum lagi membuat keputusan kerana fokus utama parti ketika ini adalah untuk mempertahankan hak rakyat.

"Apa yang penting kepada kita, kita dekati, satukan rakyat Sabah ini dahulu, yang penting bila rakyat itu berpadu, rakyat itu bersatu pendirian mereka bukan kerana parti tetapi rakyat inginkan perubahan supaya kehidupan mereka jauh baik daripada apa yang ada pada hari ini.

"Masalah air, elektrik, kesihatan dan isu pendidikan itu perlu kita atasi untuk membolehkan rakyat dapat kita padukan, tiada ertinya parti berpadu tapi masalah-masalah ini masih berlanjutan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Kampung Lupak Meluas Darat, Batu Sapi pada Khamis.

**media[2988929]**

Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, hala tuju Warisan adalah sejajar dengan harapan dan perjuangan pemimpin terdahulu yang sanggup bergabung tenaga walaupun berbeza kaum tetapi perjuangan mereka tetap mengutamakan hak rakyat Sabah.

"Kita telah nyatakan bahawa untuk kepentingan rakyat Sabah dan juga kepentingan negeri Sabah, hala tuju itu yang dikehendaki.

"Ia selaras dengan harapan orang tua-tua kita dalam pembentukan Malaysia di mana mereka sanggup untuk bergabung tenaga walaupun dipisah oleh Laut China Selatan, perbezaan kaum, budaya, agama mereka tinggalkan semata-mata untuk kita membentuk sebuah negara yang dinamakan Malaysia," katanya.