SHAH ALAM - Pas menggesa Kerajaan Madani mengkaji semula pelaksanaan semakan cukai eksais bagi nilai pasaran terbuka terhadap kereta pemasangan tempatan (CKD).
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, ini kerana pelaksanaan semakan cukai eksais itu akan menyebabkan peningkatan harga kereta antara 10 hingga 30 peratus pada tahun 2026.
Menurutnya, peningkatan harga kereta pastinya memberi kesan besar kepada pengguna dan industri automotif di Malaysia.
"Pelaksanaan semakan cukai eksais ini mungkin mempengaruhi daya tahan syarikat-syarikat automotif tempatan, terutamanya yang terlibat dalam pemasangan kereta secara CKD.
"Ia juga akan merencatkan pelaburan yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia pusat pengeluaran automotif yang berdaya saing di rantau ASEAN ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Khairil Nizam, Pas turut menggesa Kerajaan Madani menimbang semula penetapan kaedah duti eksais yang baharu pada 2026 melalui Warta Kerajaan - Kastam P.U (A) 402/2019.
Jelasnya, ia akan membebankan rakyat serta berpotensi memberi kesan negatif terhadap daya beli pengguna dan pasaran kenderaan bagi kelompok rakyat terbanyak dalam negara ini.
"Dalam masa sama, Pas sekali lagi ingin menggesa kerajaan supaya memberi perhatian lebih kepada kebajikan rakyat dengan memastikan sebarang perubahan dalam polisi fiskal tidak merugikan golongan pengguna.
"Kenaikan cukai oleh kerajaan Madani seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai digital dan cukai terhadap barangan tertentu dan penyelarasan subsidi diesel sememangnya memberi kesan kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana berlaku peningkatan kos sara hidup secara keseluruhan.
"Usahlah terus membohongi rakyat yang telah memberikan kepercayaan terhadap janji pilihanraya Pakatan Harapan tetapi akhirnya hanyalah menjadi 'janji tinggal janji'," ulasnya.